31 December 2010

JOHOR

ARKIB : 28/01/2010
Zolsani 'kahwinkan' besi
Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

KOTA TINGGI 27 Jan. - Kira-kira lebih 800 tahun dahulu di zaman keagungan pemerintah Kesultanan Melayu, keris menjadi salah satu senjata mempertahankan diri bagi orang Melayu.
Keris juga menjadi alat kebesaran raja dan merupakan lambang kedaulatan orang Melayu.
Antara keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata Hang Tuah, pahlawan Melayu terkenal.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, keris tidak lagi digunakan secara meluas dalam kehidupan harian selain tidak ramai yang mahir untuk membuatnya.
Seorang bekas pengawal keselamatan, Zolsani Busu, 42, berkata, beliau menjadi tukang besi sejak 17 tahun lalu.
Antara seni pertukangan besi yang dibuat oleh Zolsani atau lebih dikenali sebagai 'Zol Parang' adalah pembuatan keris, pedang, parang dan kerambit.
Menceritakan pembabitan awalnya dalam pertukangan besi, Zolsani berkata, beliau mula belajar membuat parang daripada seorang tukang besi, Abd. Hamid Abd. Halim selama tiga tahun ketika bekerja di Ladang Tabung Haji di Kluang.
Beliau mula membuat kerja-kerja pertukangan besi secara kecil-kecilan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan berpindah ke Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi pada 1999.
Bermula dari situ, beliau terus melakukan kerja-kerja pertukangan besi sepenuh masa di sebuah bengkel khas yang didirikan di sebelah rumahnya.
Untuk memantapkan lagi kemahiran dalam seni pertukangan besi, beliau turut menyertai Hari Kraf Kebangsaan di Jalan Conlay, Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu.
''Banyak ilmu dan pengalaman yang saya kutip sepanjang pameran tersebut termasuk bertukar pandangan dengan tukang besi yang datang dari seluruh negara.
''Saya sendiri tidak malu untuk meminta tunjuk ajar daripada seorang tukang buat keris dari Kelantan, Adiguru Abdullah untuk mendalami seni pembuatan keris," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Zolsani, kerja-kerja pembuatan besi terutama sekali keris, memerlukan kepakaran dan ketelitian agar hasil kerja terakhir memberi kepuasan bagi dirinya dan juga pelanggan.
Katanya, kerja membuat mata keris dimulakan dengan proses dipanggil 'kahwin besi' iaitu menyatukan beberapa jenis besi antaranya besi mentah, besi waja, nikel, aluminium, tembaga dan banyak lagi.
Setelah 'dikahwinkan', besi tersebut kemudiannya dibakar menggunakan api pada kadar suhu tinggi selama kira-kira 20 minit sebelum ia diketuk dengan penukul bagi proses membentuk besi.
Proses membuat ulu dan sarung keris pula mengambil masa sehingga lebih enam jam bergantung kepada bentuk, motif corak dan ukirannya.
''Ada juga pelanggan yang mempunyai mata keris yang berusia lebih 100 tahun, meminta saya untuk membuat ulu dan sarungnya saja," ujarnya.
Katanya, antara jenis kayu yang biasa digunakan adalah kemuning, kentang, jati mas dan yang paling popular adalah penawar hitam memandangkan kayunya yang bertompok atau berbelang hitam dan putih.
Zolsani memberitahu, jumlah keris yang dihasilkannya dalam sebulan tidak menentu dan kebiasaannya dibuat berdasarkan tempahan yang diterima daripada pelanggannya.
''Kebiasaannya besi diberikan sendiri oleh pelanggan atau saya beli sendiri di kedai besi lusuh dan kilang manakala kayu pula saya cari di hutan atau ladang kelapa sawit berhampiran rumah.
''Harga bagi sebilah keris adalah berdasarkan saiz dan kecantikannya iaitu antara RM500 dan RM1,800," katanya.
Ujarnya lagi, rata-rata keris yang dijual akan dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan korporat, ahli perniagaan dan ramai lagi dari seluruh negeri.
Kebiasaannya, keris yang dihasilkan akan dijadikan barangan cenderahati ataupun untuk simpanan peribadi.